
Sulit...
Pernah tak kamu terfikir bahawa sedari mula lagi, kita telah dicorakkan oleh guru kita yang pertama. Guru dalalm erti kata pengasuh kita, Mungkin jiran yang diberi kepercayaan, datuk nenek kita, dan sebahagian besar dari kita, guru pertama kita adalah kedua orangtua kita sendiri. bak kata pepatah, seorang bayi itu dilahirkan sebagai sehelai kain putih. Terserahlah kepada kedua ibubapanya untuk mencorakkan kain putih itu. Jika cantik coraknya, maka cantiklah peribadian kita. Tetapi, jika coraknya abstrak, maka susah lah untuk kita menafsirkan akan makna disebalik corak itu.
Sedari kecil lagi, kita telah mengidolakan para pengasuh kita sebagai wira yang patut kita contohi.Kita mengganggap diri mereka sebagai yang terbaik di seluruh alam semesta ini. Tiada tolok bandingnya.
Makan, minum kita terjaga. Segala keperluan harian kita disaji depan mata. Tidak perlu bersusah-payah, bertungkus-lumus untuk mencari rezeki. Ibu, bersengkang mata malam dan siang ntuk melihat kita bahagia. Ayah pula, mengetepikan penat-lelah, untuk bermain dengan anak-anak mereka setelah seharian bekerja.
Pendek kata, kedua orangtua kita sanggup menggabdikan diri mereka untuk kesenangan anak-anak mereka. Percayalah kata-kata ku. Ayang dan ibu mana yang sanggup melihat anak-anak mereka menderita? Celik sahaja mata, pasti mereka akan mengenangkan anak-anak mereka. Sebelum tidur pula, menjenguk si kecil seketika sudah mencukupi. Asalkan segalanya selamat untuk anak-anak mereka. Itulah doa harian ibu dan bapa kita.
Pada zaman sekarang, zaman yang dikatakan berteknologi tinggi. Zaman yang serba canggih dan zaman yang dipanggil moden ini, aku melihat seakan-akan kita semua ini semakin mundur. Pemikiran kita pula semakin cetek. Dimanakah pemikiran yang sepatutnya dimodenkan juga untuk memberi keselesaan pada kedua orangtua kita?
Semakin hari, semakin ligat pembinaan rumah tumpangan orang tua-tua untuk yang berbangsa Melayu/islam. Kononnya, makanan yang dihidangkan, halal. Walhal, pada pendapat orangtua kita, sekeping roti yang dicicah bersama air suam, disuap ke mulut mereka oleh anak-anak sendiri, adalah makanan yang paling menyelerakan.
Mari kita letakkan diri kita pada sinopsis hidup seorang wargatua yang mepunyai ramai anak, tetapi, dicampakkan ke rumah tumpangan. Apakah erti kehidupan itu, jika yang menjaga mereka adalah orang yang tiada hubung kait, sedarah daging mereka?
Malu aku untuk megaku menjadi seorang berbangsa Melayu, jika melihat sebangsaku berkelakuan sedemikian. Dimanakah ajaran agama mu? Dimanakah letaknya ajaran bangsaku? Lupakah kita bahawa kita mempunyai adat yang terkuat dirantau ini? Hubungan kekeluargaan adalah sinonim apabilah seseorang itu menyebut bangsa Melayu.
Ish... Tidakkah kita malu dengan bangsa asing? Moden. Memang pun moden tatkala kita meperagakan pakaian dan sesi kehidupan kita, tetapi mengapa kita selalu mengambil jalan mudah dalam setiap perkara? Jalan yang dipintas dan digalas itulah yang ingin kita turuti.
Tingkah-laku kita mencerminkan diri kita sendiri. Dan cermin itu adalah potret yang disanjung oleh anak-anak kita. Aku ingin memberi kesedaran pada para pembaca dan juga diriku sendiri. Tanpa pengorbanan orangtua kita, tidak kita melihat dunia ini. Fikirkanlah...