Seandainya...

Sangsi...
Batu selembat, teng-teng dan capteh. Ingat tak permainan warisan peninggalan nenek moyang kita?
Aku rasa, hampir separuh dari pembaca, tidak pernah tinggal di kampung. Apatah lagi merasakan berkaki ayam ketika bermain di tepi longkang atau padang yang berlumpur. Jauh sekali bermain lastik ataupun bermain senapang yang dibuat oleh ayah.
Teringat aku dengan kuda buatan ayah. Walaupun ianya tidak secanggih permainan sekarang, aku tetap bersyukur, kerana permainan-permainan dahulu menjadikan aku lasak. Bergasak beralaskan tanah kerikil, mandi di longkang dan berjemur di tengah padang adalah adat permainan dahulu kala.
Seronok memikirkannya. Kepingin hati ingin melalui zaman kanak-kanak tatkala bebas melakukan apa sahaja dan meyalahkan usia yang belum matang. Masih terngiang-ngiang teriakan ibu memaksa aku pulang ketika bermandi di dalam hujan. Sorak, derai tawa rakan sepermainan, masih lagi tersemat di benak fikiran ku ini.
Masa yang berlalu, menelan semua kenangan bak ular sawa yang kelaparan. Cepat aku rasa masa berlalu. Detik masa yang seakan mengejar zaman, tidak sedikit pun memberi kesempatan untuk ku menukil satu-persatu zaman kegemilangan ku.
Kini, satu-persatu teman seperjuangan telah pun mempunyai keluarga sendiri. Berlainan rasanya jika ingin bermesra seperti dahulu.
Berbanding dengan kanak-kanak dahulu, yang menurut kehendak ibu dan mengikut telunjuk bapa, kanak-kanak sekarang, seolah-olah mempunyai agenda mereka sendiri. Pantang ditegur. Nescaya memanjang air muka dan mulalah dia merajuk. Hidup terkongkong di dalam empat penjuru batu, sogokkan ibu dan bapa hanyalah peti tv dan komputer.
Mana hilangnya tahap ketahanan seseorang itu, jika diri dipasung? Mana perginya aliran darah yang berapi untuk memberanikan diri menghadapi kesukaran?
Bukan mengeji atau mencaci. Tetapi, bukankah tahap ketahanan diri amat perlu untuk dijadikan sokongan hidup. Kita, sebagai sejenis haiwan yang memerlukan daya ketahanan untuk terus hidup di bumi ini. Mungkin, mengikut peredaran zaman, keperluan kita berbeza. Pakai nampak, permainan lasak akan menjadi epilog dongeng di zaman akan datang...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home