Sunday, July 16, 2006

Sebelumnya...



Musykil...
Peredaran zaman telah sedikit sebanyak memainkan peranan mengikis budaya Melayu yang penuh dengan tradisinya. Adat dan tradisi yang ditinggalkan oleh generasi lama amat sukar untuk digali dan peninggalan nenek-moyang kita harus diawetkan agar ianya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kehidupan kesenian masyarakat Melayu hingga kini tetap tumbuh dan berkembang mengikuti aliran zaman, tanpa meninggalkan warna keasliannya.
Ramai diantara kita yang masih berpegang dengan tradisi. Tetapi, oleh kerana di era otonomi, hendaknya dapat menimbulkan kesedaran di antara kita untuk mengekalkan tradisi kita.
Sedarkah anda, bahawa ramai di antara kita yang sudah lupa akan cerita-cerita dongeng yang sedari dulunya diturunkan oleh nenek-nenek kita? Kita lebih gemar untuk menonton dan mendengar cerita-cerita rakyat dari bangsa-bangsa lain yang mungkin tidak sesuai dengan budaya kita.
Masyarakat Melayu kita pula, tidak pernah memberi pengiktirafan kepada budaya kita sendiri. Kita seakan lupa dengan tradisi-tradisi seperti adat perminangan dan adat menjemput. Adat perminangan sebagai contoh, telah banyak yang dipotong-kerat dan diganti untuk memudahkan kedua-dua belah pihak.
Tepak sireh, buah pinang dan tembakaunya, tidak lagi diundang sebagai pengiring. Warisan yang ditinggalkan ini, telah sedikit sebanyak terus dilupakan. Dalam adat tradisi Melayu, tepak sireh yang ditatang dan bertukar tangan, melambangkan sebagai pembuka bicara dan dinobatkan sebagai kemestian.
Adat melamar lengkap seloka dan berpantun. Kononnya inginkan si bunga sebagai penyeri halaman rumah. Kegunaan perkataan yang berselindung, adalah ciri-ciri orang Melayu. Kesopanan menerima pinangan juga dibalas dengan pantun seloka. Mungkinkah, ciri-ciri sebegini akan hilang, telan dek zaman?
Kita tidak perlu melihat jauh, sebagai satu lagi contoh, ialah bunga rampai. Pelbagai bentuk jenis kelongsong bunga rampai yang telah menukarkan sireh itu sendiri. Dan isinya pula, telah bertukar menjadi potpuri. Manakah daun pandan dan air ros yang wangi itu?
Pernahkah anda terbau bunga rampai di upacara akad nikah? Pada pendapat saya, wanginya bunga rampai wang asli, adalah sinonim pada upacara itu. Tanpa wangian dari daun pandan yang bercampur dengan air ros, upacara akad nikah itu sendiri akan kehilangan rencahnya.
Teringin juga melihat adat tradisi ini dibangkitkan kembali. Walaupun ianya dapat ditukar-ganti, tetapi, tradisi asli warisan Melayu patut dijunjung, supaya ianya tidak akan lenyap dan hanya dapat dibaca di buku-buku sejarah sahaja. Bukankah Hang Tuah pernah berkata, "tak akan hilang Melayu di dunia". Tetapi, sedikit demi sedikit, satu hari nanti, tanpa warisan itu sendiri, nama Melayu itu akan hanya tinggal nama. Tanpa warisan. Atau yang lebih menyedihkan lagi, warisan pinjaman. Mahukah anda melihat perkara ini berlaku?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home